Pasangan kekasih muda tempatan dan Vietnam dicekup simpan dan edar dadah di kondominium yang disewa di Puchong Jaya.

KUALA LUMPUR – Sewa kondominium mewah untuk simpan bekalan dadah sebelum diedarkan.

Taktik yang dilakukan sepasang kekasih muda warga tempatan dan Vietnam itu akhirnya berjaya dihidu polis dan kedua-duanya tertangkap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pasukannya berjaya menahan sepasang kekasih muda iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam di Jalan Sri Sentosa pada 16 April lalu.

“Kedua-dua suspek berusia 31 dan 26 tahun dan mereka telah membawa ke sebuah rumah di kondominium yang disewa di Puchong Jaya.

“Hasil pemeriksaan di rumah sewa pasangan kekasih muda itu polis berjaya menjumpai serbuk dadah jenis MDMA atau ekstasi sebanyak 4.054 kilogram, methamphetamine atau syabu seberat 6.16 gram serta Ketamin seberat 11.19 gram bersama wang tunai RM540,” katanya dalam kejayaan menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, kedua-dua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan keputusan urin mendapati kedua-dua mereka positif ketamin.

Menurut beliau, suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala kekasih wanita warga Vietnam itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Nilai dadah yang dirampas adalah bernilai RM 244,975. Pasangan itu kini ditahan reman di bawah seksyen 117 kanun tatacara jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mereka.

“Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan dan warganegara asing yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.

“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 4,072 orang pengguna dadah,” tegas Adnan. -MalaysiaGazette