KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam pembikinan dua lagi video iklan untuk mempromosikan kegiatan judi atas talian di sekitar ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua suspek wanita dan lelaki berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun itu akan direman hari ini bagi membantu siasatan.

“Pihak polis telah mengesan dua lagi video promosi judi atas talian berdurasi 48 saat dan 30 saat semalam.

“Dua laporan polis juga telah dibuat dan tiga suspek telah ditahan untuk reman hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal turut menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi video-video tersebut kerana perbuatan itu salah di sisi undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian dan pembikinan video berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Terdahulu, polis menahan seramai lima lagi individu yang terlibat dalam pembikinan dua video iklan Hari Raya yang dikesan mempromosikan aktiviti perjudian secara online.

Mohamad Zainal berkata, kesemua mereka yang ditahan itu terdiri daripada pengarah, penyanyi serta komposer kepada kedua-dua video yang tular sebelum ini.

“Kelima-lima individu termasuk seorang dalang utama yang ditahan ini dipercayai mendapat arahan daripada pihak sindiket perjudian online untuk menerbitkan video-video tersebut.

“Penahanan mereka menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai 18 orang dan kelima-lima suspek akan direman bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN