Rampasan 54 bungkusan air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Kajang semalam.

KAJANG – Polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah tong ais berisi bungkusan air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit 62, Taman Bukit Mewah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, menerusi operasi pada pukul 5.30 petang itu, polis turut menemui satu paket lutsinar dipercayai berisi dadah jenis heroin.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di bahagian dapur rumah turut menemui 54 bungkusan dan satu botol air dipercayai air daun ketum yang diletakkan di dalam tong ais berwarna jingga.

“Air daun ketum siap diproses serta dibungkus dalam kuantiti yang banyak oleh suspek dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

“Ujian saringan awal air kencing dan keputusan salah seorang suspek didapati positif dadah jenis opiat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu di bawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette