Reaksi anggota polis yang menerima suntikan vaksin COVID-19 khas kepada petugas barisan hadapan di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 MAC 2021.

MUTAKHIR ini kita digemparkan dengan kes jangkitan COVID-19 di kalangan petugas barisan hadapan yang telah menerima sama ada satu dos atau telah melengkapkan dua dos vaksin seperti yang dijadualkan termasuklah 40 orang pegawai perubatan yang dilaporkan turut dijangkiti COVID-19 setelah divaksinasi.

Bagi menjelaskan semula pemahaman umum tentang vaksin ini, mari kita sama-sama mengenal apa itu vaksin. Vaksin mengandungi antigen yang terdiri daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dilemahkan atau dinyahaktifkan. Antigen yang terdapat di dalam vaksin ini bertujuan untuk memperkenalkan sistem ketahanan badan atau sistem imun tubuh badan manusia kepada bakteria atau virus tersebut. Ini dilakukan supaya sistem imun badan boleh mengecam bakteria atau virus tersebut sekiranya terdedah sekali lagi kepada bakteria atau virus yang sama. Jadi, sistem imun tubuh badan manusia boleh menyediakan ‘askar’ bagi melawan jangkitan dengan lebih pantas sebelum ‘musuh’ membiak dan mengganas.

Vaksin mengandungi bahan aktif yang dipanggil antigen. Antigen ini boleh terdiri daripada virus/bakteria hidup yang telah dilemahkan contohnya vaksin untuk cacar air (chickenpox), virus/bakteria yang telah dimatikan atau dinyahaktifkan seperti vaksin untuk batuk kokol (pertussis), protein tertentu daripada virus/bakteria yang berfungsi sebagai pengenalan kepada virus/bakteria tersebut seperti vaksin untuk meningitis, atau yang agak terkini merupakan vaksin yang mengandungi sebahagian daripada kod genetik virus/bakteria yang lebih dikenali sebagai vaksin mRNA seperti sebahagian daripada vaksin COVID-19 yang telah tercipta.

Vaksin juga mengandungi beberapa bahan yang lain seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain yang berfungsi untuk memastikan vaksin tersebut kekal stabil, tiada pembiakan bakteria dan kulat di dalamnya dan bahan-bahan lain yang mempunyai fungsi tersendiri bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin itu terpelihara.

Vaksin ini berfungsi untuk merangsang sistem ketahanan badan untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Walaupun tubuh badan manusia boleh menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi seseorang daripada jangkitan, sesetengah jangkitan virus/bakteria boleh melemahkan sistem ketahanan badan apabila badan tidak berjaya menghasilkan antibodi yang cukup dalam jangkamasa yang diperlukan. Ini boleh digambarkan dengan penghasilan askar bagi menentang musuh yang baru ditemui.

Negara yang mengenali musuh tersebut akan lebih mudah untuk mengerah askar yang tepat kriterianya bagi menghalang musuh daripada terus menyerang. Manakala negara yang mempunyai askar yang tidak bersedia mungkin akan dapat menghasilkan barisan pertahanan yang baik sekiranya mempunyai daya tahan yang tinggi, namun sekiranya sebaliknya, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk menyediakan askar yang sesuai menyebabkan musuh-musuh ini dapat menguasai tubuh dan badan akan menunjukkan gejala yang teruk.

Jadi mengapakah masih ada di antara mereka yang telah divaksin tetapi masih dijangkiti?

Antara punca yang dapat menerangkan fenomena yang berlaku adalah dari segi keberkesanan vaksin itu sendiri. Vaksin yang menggunakan kaedah yang berbeza akan mempunyai keberkesanan yang berbeza. Keberkesanan vaksin dianggarkan mengikut pengilang masing-masing. Ini kerana pengeluar yang berlainan menggunakan kaedah yang berlainan. Jadual perbezaan adalah seperti di bawah:

Nama Syarikat Jenama vaksin Jenis vaksin Keberkesanan
Pfizer & BioNTech Cominarty @BNT16262 Vaksin mRNA 95.1%
AstraZeneca-Oxford Covishield @AZD1222 Vaksin adenovirus vector 62-90%
Sinovac CoronaVac Vaksin inactivated virus 50.4-91.25%
CanSino Convidicea @Ad5-nCov Vaksin adenovirus vector 65.7%
Institusi Gamaleya Sputnik V @ Gam-Covid-Vac Vaksin adenovirus vector (hybrid) 91.6%

Faktor yang kedua, seperti yang telah diterangkan di atas, vaksin tidak mengelakkan seseorang daripada dijangkiti, malah ia membantu mempercepatkan proses mengenal virus/bakteria yang masuk ke dalam badan manusia supaya dapat melakukan proses mempertahankan diri dengan lebih cepat dan berkesan. Ini juga bergantung kepada tahap daya tahan seseorang individu untuk mengenal dan memproses antigen yang diperkenalkan kepada mereka. Tidak dinafikan, ada individu yang mencapai keberkesanan yang maksimum dan ada sebahagian tidak.

Faktor ketiga bergantung kepada virus tersebut sendiri, yang mana risiko varian yang berbeza tetap sentiasa ada hasil daripada mutasi virus yang berlaku secara semulajadi. Disebabkan oleh fitrah virus yang sentiasa membahagi dan membiak, kebarangkalian untuk mutasi itu berlaku juga tetap ada.

Vaksin bukanlah perisai yang memastikan seseorang itu kebal daripada jangkitan COVID-19. Vaksin merupakan medan latihan bagi askar-askar yang bertugas di dalam tubuh badan manusia agar bersedia seandainya terpaksa bertempur dengan virus sebenar.

Oleh itu, adalah amat penting bagi setiap di antara kita, baik yang telah divaksin ataupun belum, untuk mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan sentiasa mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai pelitup muka (Wear) dan amaran daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (Warn). Selain itu kita disarankan agar mengelakkan 3C iaitu tempat yang sempit (Confined spaces), kawasan yang sesak (Crowded) dan bersembang dengan jarak yang dekat (Close conversation).

Sebagai salah seorang daripada rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, marilah kita sama-sama memastikan setiap SOP dipatuhi dan saranan KKM diikuti bagi memastikan setiap di antara kita terselamat daripada ancaman COVID-19 seperti yang selalu ditekankan oleh Ketua Pengarah KKM Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, “Tiada yang selamat sehingga semuanya selamat”. Diharapkan dengan tercapainya imuniti kelompok dengan pencapaian vaksin sehingga 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi COVID-19 nanti akan membolehkan kita menjalani hidup dengan lebih bermakna.

Sebagai orang Islam kita dituntut supaya kita mentaati pemerintah iaitu ketaatan kepada arahan para pemerintah adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang makruf dan membawa kebaikan. Banyak hadith dan ayat al Quran menganjurkan perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Nisa’ Ayat 59 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.

Justeru, segala arahan daripada pemerintahan berkaitan peraturan di musim COVID-19 hendaklah dipatuhi dalam membantu kerajaan membanteras penyakit ini dari merebak semakin teruk.

Usaha dan tawakal yang dijalankan haruslah sentiasa berterusan bagi mencapai hasil yang terbaik bagi setiap lapisan masyarakat. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA yang bermaksud, “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali di petang harinya dalam keadaan kenyang.”Wallahualam

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak 
Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.