Seorang kanak-kanak bermain di luar rumah semasa sekatan pergerakan dilaksanakan di New Delhi pada hujung minggu. foto Agensi

NEW DELHI – Ibu negara India dikenakan sekatan pergerakan selama seminggu selepas lonjakan kes jangkitan Covid-19 yang membimbangkan sistem penjagaan di New Delhi.

Bagaimanapun pejabat kerajaan dan perkhidmatan penting, seperti hospital, farmasi dan kedai runcit akan dibuka semasa sekatan pergerakan yang bermula pada malam Isnin.

Bandar ini telah melaksanakan perintah berkurung pada hujung minggu, tetapi merekodkan lonjakan kes harian tertinggi pada hari Ahad iaitu 24,462 kes.

India telah mengalami gelombang kedua Covid-19 sejak awal bulan ini.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal berkata, bandar itu hampir kehabisan katil di unit rawatan intensif hospital (ICU) dan kekurangan bekalan oksigen.

“Saya selalu menentang langkah sekatan pergerakan tetapi tindakan ini akan membantu kami memperbaiki bilangan katil hospital di Delhi,” katanya pada sidang media secara maya.

Beliau juga meminta pekerja migran di kota itu untuk terus kekal di bandar kerana pada tahun lalu menyaksikan berjuta-juta pekerja kembali ke kampung mereka setelah menganggur dan kehabisan wang.

“Ini adalah keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami tidak punya pilihan lain. Saya tahu ketika sekatan pergerakan diumumkan, pekerja dengan gaji harian menderita dan kehilangan pekerjaan mereka.

”Tetapi saya meminta mereka untuk tidak meninggalkan Delhi. Ini adalah penutupan singkat dan kami akan menjaga anda,” ujarnya.

Dilaporkan satu daripada tiga individu yang menjalani ujian saringan didapati positif Covid-19.

Menteri Kesihatan India memaklumkan semua orang dewasa akan mula divaksinasi pada 1 Mei ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast