Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban, Dell Basir

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Faiz Na’aman diingatkan jangan mudah lupa bahawa parti itu lebih teruk daripada kluster mahkamah.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban, Dell Basir berkata, kluster PPBM lebih hina daripada kluster mahkamah kerana parti adalah serpihan daripada Pakatan Harapan (PH) yang didakwa banyak menipu rakyat.

“Muhammad Faiz dan PPBM lupa bahawa sepanjang menjadi kerajaan bersama PH, banyak manifesto tidak ditunaikan termasuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Apabila mereka mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka juga gagal mengendalikan kes Covid-19 selain menghancurkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhammad Faiz melabel “Kluster Mahkamah” UMNO sebagai binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

Menurutnya, Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.

Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dell menyifatkan Muhammad Faiz bukan sahaja kera politik yang terpekik merata tempat, bahkan dia lupa bahawa PPBM lebih teruk daripada DAP.

“Saya mohon Presiden UMNO supaya segera tarik sokongan daripada kerajaan PN kerana setiap ahlinya sudah melampaui batas. Setiap hari mereka menghina, mencaci, mencerca dan membuli pemimpin serta parti.

“Mereka lupa jika bukan kerana UMNO memberi dokongan, mereka bukanlah kerajaan mahupun menteri bahkan mereka adalah pengemis jalanan yang masih terpekik di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau menyeru Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik segera sokongan terhadap Kerajaan PN kerana ia melibatkan maruah UMNO dan PPBM memusuhi UMNO yang banyak berjasa kepada orang Melayu.

“Wahai PPBM dan pemimpin setahun jagung. Ukurlah baju di badan sendiri. Parti kamu tidak memiliki kerusi Parlimen yang kukuh dan hanya bertapak dengan Proklamasi Darurat.

“Menipu angka kes Covid-19 harian untuk terus mengekalkan jawatan. Malulah pada rakyat, menggantung Parlimen dan menggunakan wang rakyat sesuka hati.

“Tidak menghormati perkenan Yang Dipertuan Agong dan penghancur amalan demokrasi,” dakwanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan PPBM yang menerima ahli-ahli Parlimen yang melompat dan kini dilihat seolah-olah suci daripada segala dosa silam.

“Saya minta Muhammad Faiz lihat cermin di rumah dan fikirkan semula apa sumbangan PPBM kepada rakyat serta negara? Fikir semula kes rasuah yang dilakukan oleh pemimpin PPBM/ PN?

“Jika satu jari kamu menuduh UMNO adalah kluster mahkamah, empat jari menuduh kamu PPBM lebih hina,” katanya lagi. – MalaysiaGazette