Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sebanyak 83 kluster daripada sektor pendidikan telah dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan dalam tempoh 1 Januari 2021 sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah  tersebut, sebanyak 49 kluster dengan 2,617 kes adalah masih aktif dan 34 kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

Daripada jumlah kluster tersebut juga, sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori Sekolah/ Institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Tinggi dan 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Lain.

Adham  berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan dalam pencegahan, kawalan dan dalam menangani penularan jangkitan.

Tambah beliau, sekiranya terdapat laporan atau notifikasi kes positif Covid-19 atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan dari pejabat kesihatan daerah (PKD) akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

“PKD akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi juga dijalankan. Hasil penilaian risiko oleh PKD, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan.

“Ia bertujuan agar langkah-langkah di atas dapat dijalankan segera untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti,” katanya lagi.

Semalam, satu lagi kluster sekolah / institusi pendidikan KPM dikesan di daerah Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.

Kluster tersebut melibatkan pelajar-pelajar sebuah sekolah yang terletak di Jalan Padang Lallang, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

Sejumlah sembilan kes positif Covid-19 dikesan daalm kluster tersebut. – MalaysiaGazette