Seorang warga emas yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), Nik Mohd Fauzi Nik Yusoff diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Dua di Dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2021.

JEMPOL – Seramai 592 warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan komorbiditi telah menerima suntikan vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Jempol setakat tengah hari ini.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, dianggarkan seramai 360 individu akan disuntik setiap hari di PPV tersebut.

“Kita telah mulakan pemberian vaksin ini sejak Isnin dan sehingga tengah hari ini seramai 592 orang yang terdiri daripada individu berusia 60 tahun ke atas, komorbiditi dan OKU telah disuntik.

“Setakat ini pemberian vaksin berjalan lancar di mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menghubungi mereka untuk memaklumkan temu janji selain daripada pemakluman menerusi MySejahtera.

“Jadi ini untuk memastikan pada setiap hari peratusan yang datang itu tinggi kerana kita hendak mengelakkan pembaziran dan dalam masa yang sama bersedia dengan langkah-langkah untuk senarai ganti sekiranya pada hari tersebut kehadiran tidak penuh ke PPV ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di PPV Pejabat Daerah dan Tanah Jempol hari ini.

Turut hadir, Pegawai PKD Jempol, Datin Dr. Ariza  Zainudin.

Temubual bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Dua di Dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2021.

Menurut Syahrul, terdapat lima PPV di daerah ini dengan tiga daripadanya bukan fasiliti kesihatan manakala dua lagi merupakan fasiliti kesihatan.

Empat lagi PPV itu adalah Dewan Majlis Perbandaran Jempol, Bahau; Kompleks Sukan Felda Palong 4,5,6; Klinik Kesihatan Palong 9,10,11 dan Klinik Kesihatan Felda Lui Muda.

“Untuk fasa kedua PICK, PPV ini sahaja yang baru beroperasi daripada keseluruhannya lima. Untuk PPV ini kita utamakan kawasan sekitar seperti Bahau, Serting dan Felda Raja Alias.

“Empat fasiliti lagi kita akan buka secara berfasa, jadi selepas itu baru lah kita akan luaskan pemberian vaksin kepada penduduk yang berada di kawasan lebih jauh seperti Sungai Lui dan Felda Palong,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada masyarakat di daerah tersebut untuk sentiasa memeriksa aplikasi MySejahtera masing-masing supaya tidak terlepas tarikh temu janji.

Seorang warga emas yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), Nik Mohd Fauzi Nik Yusoff diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Dua di Dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2021.

“Kepada masyarakat di Jempol ini saya menggalakkan mereka untuk mendaftar di dalam MySejahtera, sekiranya tiada aplikasi tersebut maka boleh menghubungi Klinik Kesihatan yang berhampiran untuk mendaftar atau talian hotline.

“Manakala kepada mereka yang sudah mendaftar dan menerima tarikh temu janji, saya sarankan supaya hadir seperti ditetapkan bagi memastikan kelancaran operasi pemberian vaksin,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kira-kira 29,000 individu telah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di daerah ini.

Setakat semalam, seramai 1,210,779 individu sudah menerima vaksin sejak program imunisasi kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu.

Negara kini berada dalam fasa kedua program vaksinisasi yang bermula 19 April hingga Ogos ini untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi. – Malaysia Gazette