KUALA LUMPUR – Lebih 70 peratus kejadian menghendap melibatkan mangsa yang didekati di kawasan disifatkan sebagai selamat iaitu rumah, tempat kerja atau sekolah.

Perkembangan ini, menurut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan serangan seksual seterusnya berlakunya jenayah pembunuhan.

Menurut tinjauan melibatkan 1,008 responden dalam negara, satu pertiga mengaku pernah dihendap dan menyebabkan ketakutan, selain 17 peratus dihendap sehingga mengakibatkan kecederaan.

Manakala 12 peratus responden mengaku pernah dihendap dan diugut serta mengakibatkan kecederaan.

Sehubungan itu, WAO menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Undang-undang termasuklah Jabatan Perdana Menteri, supaya memandang serius kes yang melibatkan jenayah hendap.

WAO berkata, mangsa hendap patut dilindungi dengan undang-undang tertentu bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah yang lebih buruk.

Tambah WAO, menghendap merupakan pelakuan bahaya dan bersifat obses yang boleh menyebabkan kehidupan mangsa terganggu, seterusnya menyebabkan tekanan melampau kerana kurangnya keselamatan di ruang awam.

“Jelas sekali, hanya sedikit yang dilakukan untuk melindungi mangsa. Jika menghendap adalah jenayah, pelaku itu boleh ditangkap dan polis boleh membantu mangsa untuk mendapatkan perintah perlindungan.

”Ini mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa. Malangnya, kerajaan masih menangguhkan undang-undang yang kritikal ini,” kata WAO menerusi kenyataan.

WAO turut menyentuh kejadian seorang wanita pada 14 April lalu yang maut ditikam oleh teman lelakinya yang juga didakwa beberapa kali menghendapnya dan beberapa kes lain.

Katanya, ini bukan kejadian terpencil.

Sebaliknya, pada bulan September 2020, seorang wanita hamil di Perak telah dicabul oleh penghendapnya, yang menyewa rumah di kawasan yang sama.

Pada 2018, Devi Surdarsani diekori oleh dua orang yang tidak dikenali selama 3 jam selepas membeli minum di KK Mart.

Walaupun beliau telah memberitahu polis, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak polis kerana tidak ada sentuhan fizikal yang berlaku, kata pertubuhan itu.

“Pada 2017, seorang lelaki telah menembak bekas isterinya di tempat kerja. Mangsa telah menukar kerja untuk melindungi diri dari penghendap iaitu bekas suaminya,” kata WAO.

Mengulas mengenai insiden-insiden ini, WAO berkata, undang-undang khusus untuk jenayah menghendap perlu dibuat untuk menyelamatkan nyawa mangsa.- MalaysiaGazette