Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Razakmas 2 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa secara ikhlas menerima permohonan maaf secara terbuka bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam.

Annuar yang dimaklumkan peguamnya mengenai permohonan maaf itu berkata, beliau menerima permohonan itu melihat kepada keikhlasan dan kejujuran yang dipamerkan Lokman Adam.

“Saya memahami bahawa saya sering menjadi sasaran fitnah dari berbagai pihak dan bersedia menggunakan hak saya untuk menegakkan kebenaran menurut jalur undang undang.

“Bersesuaian dengan bulan Ramadan yg mulia ini, di mana kita dituntut memperbanyakkan ibadat dan melakukan amal makruf serta saling memaafkan, saya mengambil pendirian menerima permohonan maaf beliau atas kekhilafan dan kecuaiannya.

“Saya bersyukur Datuk Lokman Adam telah mengakui kesilapannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lokman Adam hari ini secara terbuka membuat permohonan maaf dalam Facebook beliau sebelum ini.

Pada 13 Disember tahun lalu, beliau memuat naik status berjudul “((GEMPAR)) WhatsApp antara Zafrul/Annuar Musa/Takiyuddin – Projek Untuk Ibu Zafrul & Anak Muhyiddin”.

Beliau menjelaskan dirinya telah mengeluarkan kenyataan yang salah dan kenyataan status itu tidak kaitan langsung dengan Annuar.

“Saya akui pengesahan maklumat yang saya buat adalah tidak tepat sehingga saya mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat.

“Saya juga akui maklumat yang saya terima adalah tidak tepat dan WhatsApp tersebut adalah di antara Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tiada kaitan dengan Tan Sri Annuar Musa,” tulis beliau di Facebooknya, hari ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.