Awie akan muncul bersama-sama Wings sempena Showcase Wings Raikan Ramadan pada 1 Mei ini.

KUALA LUMPUr – Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie berkata, keputusan dia dan Wings untuk mengadakan showcase selama dua hari pada hujung bulan ini dan awal Mei dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Katanya, biar apa pun yang terjadi, hidup harus diteruskan kerana golongan seni antara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Beliau mengakui rata-rata penggiat seni antara golongan yang terkesan berikutan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak setahun yang lalu.

Namun mereka tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu terus bekerja kerana mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung.

“Sebenarnya saya memegang prinsip hidup harus diteruskan. Kami dah ditentukan Allah untuk menjadi pemuzik, penyanyi dan penghibur. Jadi, mahu atau tidak, kami perlu bekerja. Melalui penganjuran showcase ini sekurang-kurangnya dapatlah kami membantu pemuzik, pengurus acara dan mereka yang terbabit dalam industri ini secara tidak langsung.

“Memang tidak dinafikan, pendapatan kami terjejas dengan teruk dalam tempoh pandemik ini. Biarpun kita lihat angka jangkitan yang tidak menentu tetapi persembahan tetap perlu diteruskan tetapi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, asalkan tidak menyalahi undang-undang.

“Kami perlu terus bekerja, jika hendak diikutkan rasa takut sampai bila-bila kami tidak boleh bekerja. Apa yang penting setiap orang yang terlibat perlu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan mengikut SOP,” katanya.

Sementara itu, showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan anjuran Awie Entertainment dengan kerjasama HS Shazliciious Trading itu bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 April bertempat di Hotel Lacrista, Melaka yang akan diringi oleh pemuzik undangan.

Sementara bagi acara di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada 1 Mei, Awie akan muncul bersama-sama Wings (Showcase Wings Raikan Ramadan) untuk menghiburkan peminat mereka.

Pengurus Projek, Mubarak Akhtar atau Hatta berkata, bagi mengambil keberkatan bulan suci Ramadan, Awie akan mendendangkan beberapa buah lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian.

Bagaimanapun jumlah penonton untuk menyaksikan persembahan selama dua itu terpaksa dihadkan bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.– MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.