Mayat seorang bayi lelaki ditemui di bawah jenjantas di Jalan Jepun, Kampung Delek, Klang semalam.- gambar hiasan.

JITRA – Seorang bayi lelaki yang baru berusia lapan bulan meninggal dunia akibat tersepit pada celahan besi katil di sebuah asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini semalam.

Sumber MalaysiaGazette berkata, pihaknya terima panggilan daripada sebuah hospital pada jam 8.30 malam berhubung kematian mangsa sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

Semasa kejadian, dua pekerja asrama, masing-masing seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita warga emas, 60 tahun sedang bertugas.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 8 malam apabila pekerja lelaki dan wanita itu meninggalkan bayi berkenaan di atas katil dalam keadaan terbaring dengan  meletakkan bantal di bahagian kiri dan kanannya.

“Setelah selesai solat, wanita itu memeriksa kawasan katil asrama berkenaan dan mendapati mangsa tersepit dalam keadaan kepalanya tersangkut pada celah besi katil tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa merangkak dan cuba keluar melalui celahan besi katil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut sumber, pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.

Susulan kejadian itu pihak polis menahan dua suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujar sumber.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut.

Difahamkan, mangsa dihantar ke pusat jagaan JKM itu untuk jagaan sementara pada 1 April lalu susulan ibu bapanya berada dalam tahanan berkaitan kes dadah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesiian bayi tu gian dadah angkara ibu-bapanya ketagih dadah lebih-lebih lagi merokok pulak.

Comments are closed.