Peminat Man City dan Chelsea memprotes di hadapan stadium kelab masing-masing menentang projek ESL yang disertai kedua-dua kelab mereka pada Ahad lalu.

LONDON – Manchester City akhirnya meninggalkan Liga Super Europa (ESL) tidak sampai 48 jam kelab itu mengumumkan keanggotaannya bersama lima 11 kelab Eropah yang lain.

Chelsea turut mengambil pendekatan sama selepas kedua-dua kelab itu dikecam dan ditentang hebat oleh penyokong kelab masing-masing atas kebodohan dan ketamakan mereka.

Kedua-dua kelab itu dalam proses mendokumentasi untuk meninggalkan ESL, sekaligus memberi tamparan hebat kepada pihak yang menyediakan skim dana berjumlah 4.6 bilion Pound bagi membentuk ESL yang dikecam sebagai pembunuh bola sepak Eropah.

Sumber terdekat ESL mengesahkan the Citizen telah menghantar surat rasmi untuk meninggalkan gabungan baharu itu.

Ketika diminta mengesahkan tindakan itu, Manchester City tidak mahu mengulas lanjut atas sebab perundangan.

City antara enam kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyertai gabungan ESL itu pada Ahad.

Sementara itu, para penyokong the Blues gembira dan meraikan suasana di luar Stamford Bridge apabila Chelsea mengumumkan untuk meninggalkan projek kontroversi ESL.

Keputusan segera itu diputuskan Chelsea selepas menerima bantahan dan kritikan keras daripada para peminat mereka yang mendesak pemilik kelab itu Roman Abramovich, seorang jutawan Rusia berundur daripada menyertai ESL.

Protes jalanan tercetus di pekarangan stadium berkenaan sehingga anggota polis dikerah untuk menyuraikan keadaan.

Manakala penjaga gol Chelsea Petr Cech merayu penyokong Chelsea untuk tidak menghalang jalan dan memprotes di luar stadium akibat liga kontroversi yang mencetuskan kemarahan mereka.

Cech turut dikecam oleh peminat sebagai pengkhianat ketika cuba menenangkan keadaan berikutan bantahan ke atas ESL itu.

Turut mengikut jejak langkah mereka adalah kelab gergasi La Liga Eropah, Barcelona.

Jurucakap the Catalans iaitu presidennya Joan Laporta berkata, kelab itu tidak akan menyertai ESL memandangkan ia adalah kelab milik penyokong mereka yang merupakan pemegang taruh utama.

“Barcelona tidak akan menyertai Liga Super Europa sehingga penyokong kelab kami mengundi menyokong projek itu.’

“Ini kelab mereka (peminat Barcelona) jadi itu keputusan mereka (menentukan penyertaan dalam ESL),” katanya.

Real Madrid, Liverpool, Manchester United, Tottenham dan Arsenal antara kelab yang menganggotai ESL yang kini menerima tentangan besar dari peminat bola sepak Eropah.

Justeru badan kawal selia bola sepak dunia dan Europa mengeluarkan amaran keras para pemain yang terlibat dalam ESL akan digantung daripada beraksi di Piala Dunia dan Kejohanan Euro bersama pasukan kebangsaan mereka.

Malah kelab-kelab separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa yang terlibat dalam ESL akan disingkirkan terus daripada kempen musim ini.

Projek ESL dianggap memalukan dan umpama meludah di muka peminat bola sepak serta dianggap sebagai usaha melenyapkan sejarah bola sepak Eropah lebih lima dekad itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast