Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika melakukan tinjauan berkaitan kenaikan harga barang di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 21 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan lebih berhati-hati dengan pelawaan mana-mana pihak khususnya Pas untuk bekerjasama termasuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Amanah tidak pernah lupa apa yang dilakukan Pas terhadap partinya.

“Dia nak ajak kita, tapi bila kita tubuh Amanah, dia kata kita macam-macam, kita nak pelawa itu pun kita kena beringat-ingatlah,” katanya pada sidang media di Pasar Chow Kit, hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, parti Islam itu tidak bermasalah sekiranya Amanah mahu menyertai PN untuk menyumbang kepada penyatuan ummah.

Menurut Kamaruzaman, beliau menyambut saranan Presiden Pas bahawa PN satu platform untuk menyatukan semua.

Katanya lagi, sekiranya Amanah ingin bersama, maka ia boleh dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi PN. – MalaysiaGazette