Pengusaha char kuey teow terkenal di Pulau Pinang maut dalam kemalangan semalam.

SEBERANG PERAI – Pengusaha Adam char kuey teow maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 133.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Seberang Jaya di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa, Zamri Juhari, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Zamri merupakan pemilik Adam Char Koay Teow di Permatang Pauh yang popular dalam kalangan penduduk Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Honda CBR 1000 yang ditunggangi mangsa dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 serta kereta jenis BMW.

Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa selepas terbabas di kiri jalan.

Katanya, kemalangan itu disedari pemandu berusia 52 tahun apabila terdengar bunyi dentuman di sebelah kiri keretanya sebelum mendapati dua motosikal terbabas di kiri jalan.

“Hasil soal siasat ke atas penunggang Yamaha Y15 berusia 24 tahun itu mendakwa semasa berada di lorong motosikal, dia melihat motosikal mangsa (Zamri) dalam keadaan terhuyung-hayang di hadapannya.

“Dia tidak sempat mengelak motosikal berkuasa besar itu menyebabkan dia turut terbabas dan mengalami kecederaan ringan.

“Penunggang itu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala pengusaha char kuey teow yang maut di lokasi kejadian dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shafee, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette