Kapal selam, KRI Nanggala milik Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL).

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini mengerahkan kapal, MV Mega Bakti, bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam milik Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Nanggala yang hilang di perairan Bali, semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, operasi SAR itu melibatkan 54 kru yang terdiri dari tujuh pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga pegawai dan staf perubatan Angkatan tentera Malaysia (ATM), serta 44 kru MV Mega Bakti.

“Semasa perbualan telefon tersebut, YB Dato’ Sri Ismail Sabri telah memaklumkan bahawa sebagai negara sahabat, Malaysia melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengatur gerak kapal penyelamat kapal selam TLDM iaitu MV Mega
Bakti pada 22 April 2021 jam 7 pagi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) KRI NANGGALA,” katanya.

Kapal selam TNI-AL tersebut dilaporkan hilang pada jam 10.37 pagi semalam di perairan Pulau Bali.

Kapal selam yang membawa 53 kru itu gagal dihubungi bermula pada jam 4 pagi hari yang sama.

MV Mega Bakti

Tambah kenyataan itu, MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dan dijangka sampai ke lokasi SAR pada 25 April 2021 jam 3 petang.

Katanya, MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.

Tambahnya, operasi SAR itu adalah yang kedua melibatkan MV Mega Bakti selepas terlibat dalam pencarian pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines, menerbangan MH370, yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada tahun 2014.

Menurut kenyataan tersebut, Kementerian Pertahanan melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas operasi SAR itu dan ketersediaan dalam membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.

“Selain menekankan pendekatan Diplomasi Pertahanan, Operasi SAR ini juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast