KUALA LUMPUR – Polis merampas mercun bernilai RM25,000, daun dan air ketum berjumlah RM850 di salah sebuah premis di Medan Selera di Kampung Baru, di sini, pada Rabu lalu.

Dua suspek termasuk seorang warga Indomesia berumur dalam lingkungan 30-an dan 50-an ditahan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mercun yang ditemui dipercayai untuk dijual kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Daun dan cecair dalam botol yang dipercayai air ketum untuk dijual kepada penagih-penagihdi sekitar ibu kota pada harga RM10 sebungkus, ujarnya.

“Bagi rampasan lima beg guni yang mana di dalamnya terdapat 320 bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum (Anggaran Berat 64 kg bersamaan nilai rampasan RM640.00) dan 14 botol berisi air ketum (Anggaran Berat 21 Liter bersamaan nilai rampasan RM 210.00)” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohamad Zainal, semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

Kedua-dua kini ditahan di Lokap IPD Dang Wangi dan permohonan reman akan dikemukakan pada hari ini, katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki dan menjual mercun.

Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 bagi kerana mengedar ketum, ujarnya.

Justeru, pihak polis memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah serta penjualan mercun dalam tempoh perayaan ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Pois Daerah Dang Wang di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette