Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram dijangka terus melakukan hujah balas dalam kes rayuan  penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang melibatkan Datuk Seri Tun Razak di  Mahkamah Rayuan di sini sebentar lagi.

Beliau dijangka selesai berhujah antara jam 2 hingga 3 petang ini.

Sekumpulan kecil penyokong Najib turut kelihatan berada di perkarangan mahkamah.

Selain Najib, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga akan terlibat dengan prosiding rayuan kes rasuah bernilai RM2 juta di Mahkamah Rayuan hari ini.

Semalam, Sithambaram berhujah, tindakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mengembalikan sebahagian sumbangan derma Arab kepada pengirimnya tanpa sebarang penjelasan atau surat ucapan terima kasih menunjukkan ia adalah satu penipuan.

Sithambaram mempersoal jika ia adalah sumbangan daripada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud mengapa wang tersebut harus dikembalikan kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Tanore Finance Corp.

Malah hujah Sithambaram, tindakan Najib yang juga bekas Perdana Menteri mengembalikan sumbangan berjumlah AS$620 juta dari Almarhum Raja Abdullah kepada Tanore Finance Corp sukar dipercayai serta sangat aneh.

“Seperti ada yang tidak kena, ini juga seperti satu usaha terdesak oleh pasukan pembelaan dalam kes ini.

“Najib sendiri dalam keterangan mendakwa Jho Low telah memintanya untuk menyerahkan wang itu kepada Tanore Finance Corp kerana adanya implikasi politik seandainya dana itu disimpan dalam akaun peribadi beliau.

“Sumbangan dari Arab itu didakwa telah diberikan kepada Najib selaku Perdana Menteri Malaysia dan mahu beliau menggunakan dana tersebut untuk mengekalkan keharmonian dan kesederhanaan tetapi pada masa sama barisan Kabinet tidak pula diberitahu tentang dana ini.

“Mengapa tidak disimpan sahaja dana ini ke dalam ‘Federal Consolidated Fund’ untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti kehendak Raja Arab itu?,” katanya di hadapan tiga panel hakim semalam.

Tiga panel yang bersidang mendengar kes rayuan ini itu diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 JUlai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC sebanyak RM42 juta. -MalaysiaGazette