Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sekolah yang mempunyai kes jangkitan COVID-19 membabitkan pelajar dan guru akan ditutup terus tanpa perlu menunggu arahan Kementerian Pendidikan atau pejabat kesihatan daerah.

Oriental Online melaporkan, keadaan itu adalah berbeza berbanding garis panduan semasa, iaitu hanya kelas-kelas tertentu yang ditutup selepas berlaku kes jangkitan.

Menurut portal itu, Kementerian Pendidikan dijangka akan mengeluarkan arahan terbaharu itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon ketika dihubungi Sinchew Daily mengesahkan arahan penutupan sekolah yang berkuat kuasa secara serta-merta itu.

Menurut akhbar itu, sekiranya berlaku kes jangkitan, pihak sekolah boleh memaklumkan ibu bapa mengenai penutupan sekolah selama sekurang-kurangnya dua hari.

Pejabat kesihatan daerah seterusnya akan melakukan penilaian sama ada sekolah berkenaan boleh dibuka atau terus ditutup selepas dua hari.

Hang Soon berkata, keputusan itu telah dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin.

Katanya, Kementerian Pendidikan memantau keadaan jangkitan di sekolah dan mengekalkan komunikasi yang kerap dengan Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette