Pasukan keselamatan berjaya menyekat dan menangkap pencerobohan sempedan negara oleh warga asing.

KUALA LUMPUR – Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan kerana cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi lorong tikus.

Pergerakan yang mencurigakan melibatkan individu di kawasan paya berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia yang bersembunyi di kawasan belukar.

Wanita yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri serta pas perjalanan itu mengakui baru masuk ke negara ini menggunakan laluan haram berjaya membawa kepada penangkapan 18 lagi Pati Indonesia.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), kejadian tersebut berlaku di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada awal pagi ini.

“Sekitar jam 2.28 pagi, anggota kumpulan Pos Pemerhati yang sedang membuat pemantauan berterusan telah mengesan pergerakan individu mencurigakan di kawasan paya berhampiran CIQ sebelum berjaya menahan seorang wanita Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri yang sedang bersembunyi di kawasan belukar itu.

“Susulan maklumat tersebut, pasukan telah mengatur gerakkan tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bagi membuat penjejakan dan mengepung kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan sekitar jam 3 pagi, Tim QRF berjaya menahan 16 lagi PATI yang terdiri daripada tiga lelaki dan 13 wanita juga dari Indonesia yang sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran dipercayai menunggu kenderaan tekong untuk di bawa keluar dari kawasan tersebut,” katanya.

Pergerakan benda mencurigakan di kawasan paya belukar berhampiran CIQ berjaya membawa kepada penangkapan 19 PATI Indonesia yang cuba menyusup keluar dengan menggunakan laluan tikus  dicekup pasukan tentera dalam Ops Benteng awal pagi tadi.-Foto Ihsan: Markas tiga divisyen Infentri Malaysia

Susulan tangkapan itu, tambah kenyataan itu, pada jam 7.15 pagi hasil daripada sumber perisikan dan siasatan ke atas kesemua tangkapan Pati Indonesia itu berjaya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga Indonesia yang sedang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran jalan menghala ke Desaru.

Menurutnya, kesemua 19 Pati yang terdiri daripada lima lelaki dan 14 wanita yang berusia antara 28 hingga 40 tahun itu dipercayai baru masuk ke negara ini menggunakan laluan masuk yang tidak diwartakan.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM27,4577.20 melibatkan wang tunai Matawang Ringgit Malaysia berjumlah RM13,788.60 dan Matawang Indonesia berjumlah IDR6,631,893.75 (RM 1,874.27), 17 buah telefon bimbit serta barangan kemas.

“Kesemua 19 PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Setia Tropika, Kempas.

“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut dan pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” katanya. – MalaysiaGazette