MILAN – Zlatan Ibrahimovic mencipta sejarah peribadi apabila melanjutkan kontraknya bersama AC Milan sehingga tahun depan tatkala pada usianya yang melebihi usia 40 tahun.
Penyerang Sweden itu yang akan mencapai usia 40 tahun pada Oktober ini dianggap sebagai pencetus kebangkitan Milan untuk merebut kejuaraan Serie A sejak kepulangannya pada Januari tahun lalu.
“AC Milan adalah kelab di mana Zlatan paling kerap bermain di Itali.
”Selepas menjaringkan 84 gol dalam 130 penampilan bersama Rossoneri, penyerang Sweden itu akan terus menyarung jersi merah hitam musim depan,” kata Milan dalam satu kenyataan.
Ibrahimovic dilaporkan menandatangani perjanjian kontrak lanjutan itu bernilai RM32.12 juta.
Selepas membantu Milan menjulang trofi Serie A terakhir mereka pada tahun 2011, Ibrahimovic dijangka akan kembali bersaing di peringkat tertinggi bersama kelab itu yang bakal kembali ke Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali sejak tahun 2014.
“Kelab ini seperti rumah saya sendiri. Jika saya boleh terus kekal di sini, saya sedia,” kata Ibrahimovic.
Ibrahimovic memulakan kariernya di Malmo pada tahun 1999, kemudian berpindah ke Ajax, Juventus, kedua-dua kelab Milan, Barcelona, Paris Saint-Germain dan Manchester United.
Biasanya karier sepanjang itu hanya dimiliki penjaga gol atau pertahanan, jarang buat seorang penyerang mengharunginya kecuali legenda Roma Francesco Totti. – MalaysiaGazette