Bekas Menteri Agama merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media selepas diambil keterangan berhubung didakwa mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Perdana Menteri ke 8 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini sedang ‘meninjau’ wang dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Katanya, dana daripada sumber petroleum itu didakwa akan digunakan sebagai modal sebagai penyelamat kepada krisis negara.

“RM16.9 bilion akan diakses terus oleh PM (Perdana Menteri) dalam pindaan Akta KWAN (1988) oleh kuasa darurat. Tiada Parlimen untuk semak imbang,” katanya di Twitter sambil membuat #TamatDarurat hari ini.

Mujahid dipercayai berkata demikian merujuk kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin PPDa 12 April lalu yang mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19.

Perdana Menteri berkata, ia ekoran lebih RM600 bilion telah dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Dalam pada itu, Mujahid menambah, penggunaan dana KWAN boleh dilakukan oleh Muhyiddin kerana ia sudah termaktub dalam Ordinan Darurat.

Perkara sama pernah dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Mac lalu.

Najib sebelum ini menyifatkan kerajaan Muhyiddin telah menggunakan Ordinan Darurat untuk berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan Parlimen.

Beliau berkata, darurat yang dilaksanakan kononnya untuk membendung pandemik Covid-19 akhirnya digunakan untuk memberi kuasa kepada kerajaan berbelanja tanpa berpandukan Belanjawan 2021. – MalaysiaGazette