Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Dua kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai Geng 18 Dato Suresh dan Geng 21 Sunder tumpas apabila ketua dan ahlinya ditangkap polis dalam Ops Cantas Sinecura yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, kedua-dua kumpulan geng kongsi gelap itu bergiat aktif di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang.

“Malah kumpulan ini juga hasil siasatan Bukit Aman mendapati terlibat dengan aktiviti kongsi gelap dan pelbagai kes jenayah kekerasan seperti merusuh, pemerasan serta mendatangkan kecederaan.

“Dalam Ops Cantas Sinecura itu, seramai 22 orang lelaki tempatan telah berjaya ditangkap di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang, Selangor.

“Kesemua suspek yang ditangkap terdiri daripada 12 orang (ketua dan ahli kumpulan) dari Geng 18 Dato Suresh manakala 10 orang suspek (ketua dan ahli kumpulan) daripada Geng 21 Sunder dan kesemua suspek berusia lingkungan antara 35 hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan kejayaan ituhari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai satu hingga sembilan rekod kesalahan jenayah lampau makanala majoriti suspek mempunyai tiga hingga lima rekod kesalahan jenayah lampau.

Ujar beliau, antara kes-kes tersebut adalah seperti mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun, dadah dan lain-lain.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Operasi ini dijalankan ekoran satu kejadian pada 25 November lalu yang tular dalam media sosial yang mana sekumpulan lelaki Geng 18 Dato Suresh merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields.

“Seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan telah dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan tersebut manakala dalam kejadian lain di Kapar, Selangor pada 21 Januari tahun lalu, sekumpulan lelaki Geng 21 Sunder pula bersenjatakan parang, kayu dan besi telah menyerang seorang mangsa sehingga mendatangkan kecederaan yang amat serius,” ujarnya.

Huzir berkata, polis turut mengesan beberapa klip video yang menunjukkan tindakan ganas serta agresif kumpulan berkenaan.

Tambah beliau, hasil siasatan polis mendapati terdapat 10 laporan polis yang melibatkan kumpulan tersebut.

“Penularan video-video tersebut telah menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dan PDRM khususnya JSJ Bukit Aman memandang serius dengan perkara sedemikian dan tidak akan berkompromi dengan kumpulan kongsi gelap serta gangsterisme.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan yang melanggar undang-undang serta cuba mengganggu gugat ketenteraman awam,” ujarnya.-MalaysiaGazette