Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid mencuba songkok pada Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #shoppingstreet di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 24 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Menjelangnya musim perayaan, bukan sahaja isu harga barangan naik mendadak sebaliknya pelbagai aduan berkaitan adanya penjualan barangan tiruan terutama melibatkan jenama terkenal. 

Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa fokus memantau barangan tiruan termasuk melakukan serbuan ke premis terlibat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kali ini pihaknya bukan sahaja memantau premis biasa tetapi juga butik-butik mewah di pasar raya besar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid beramah mesra dengan peniaga pada Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #shoppingstreet di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 24 APRIL 2021.

“Tidak kisah di Jalan TAR (Jalan Tuanku Abdul Rahman) mahu pun Petaling Street atau Chow Kita, kita tegas dan akan ambil tindakan yang sepatutnya.

“Kita buat operasi ambush dan juga bertindak atas aduan. Dua-dua kita buat tanpa kompromi.

“Kita buat semua bukan sahaja peniaga tetapi pengilang atau pengeluar barangan tiruan itu sendiri. Kita faham dan sedia maklum ada pengguna yang datang ke tempat-tempat seperti ini kerana tahu harga barangan tiruan dijual dengan murah.

“Contoh pengguna hendak beli jam mewah jenama Rolex dengan harga RM200, pengguna tahu barangan tiruan. Tapi kita juga amat serius dengan barangan tiruan yang di jual di butik-butik besar dengan harga mahal, itu memang tipu pengguna.

“Itu lagi teruk sebenarnya, sukar untuk dimaafkan lagi apabila mereka jual dengan harga puluhan ratusan ribu,” katanya selepas melancarkan Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #ShoppingStreetJalanTar di Jalan TAR hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid menandatangani apron yang diberi kepada peniaga pada Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #shoppingstreet di Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 24 APRIL 2021.

Menurut Rosol, KPDNHEP terus giat dalam menjalankan program-program pengguna bijak selain adapatasi elemen norma baharu dalam sektor peruncitan.

Fokusnya ialah menyalurkan maklumat dan peringatan kepada pengguna tentang pematuhan garis panduan selain memberi kesedaran tentang hak pengguna  melalui pendekatan lebih santai kepada komuniti.

Jalan TAR telah dipilih sebagai lokasi shopping street peringkat Kuala Lumpur kerana lokasinya yang menjadi tumpuan  kebanyakan warga kota mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa di samping aktiviti penjualan pakaian serta aksesori menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, Rosol Wahid turut mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk terus berbelanja dengan bijak dan menyokong pemulihan semula ekonomi  tanpa khuatir untuk terus berkunjung premis perniagaan.

“Apa yang paling penting ialah anda terus patuh kepada semua SOP yang telah digariskan oleh pihak berkuasa, sebagai pengguna dan rakyat, kita semua perlu bertanggungjawab dan mematuhi semua peraturan untuk kebaikan semua,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast