Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pengembara luar yang memasuki Malaysia dari negara yang melaporkan penularan virus SARS-CoV-2 jenis Variant of Concern (VOC) diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari berbanding 10 hari sebelum ini.

Selain itu, mereka perlu menjalani swab sampel bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dan dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin.

Langkah itu dibuat susulan perkembangan mutakhir di banyak negara yang melaporkan virus SAR-CoV-2 Variant of Concern (VOC) jenis baharu dan ada dalam kalangan varian ini telahpun dikesan di Malaysia, misalnya varian B.1.351 atau South African variant.

Virus SARS-CoV-2 penyebab jangkitan Covid-19 kerap bermutasi bagi memastikan kelangsungan hidupnya (survival) di dalam persekitaran bersama manusia.

”Kini VOC yang membimbangkan ini telah mulai merebak ke seluruh dunia, sehubungan dengan itu, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan VOC jenis baharu di Malaysia,” kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, VOC ini boleh menyebabkan berlakunya penularan jangkitan berlaku dengan pantas, jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi termasuk peningkatan kemasukan kes ke dalam wad dan unit rawatan rapi serta berlakunya kematian.

Selain itu, kurang keberkesanan perlindungan yang diberikan oleh vaksin dan kesukaran mengesan jangkitan melalui ujian makmal tertentu.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada masa terdapat tiga jenis varian yang membimbangkan iaitu:
i. B.1.351 yang pada mulanya dilaporkan di Afrika Selatan;
ii. B.1.1.7 yang pada mulanya dilaporkan di United Kingdom; dan
iii. B.1.1.28 atau P1 yang pada mulanya dilaporkan di Brazil/Jepun.

Selain mematuhi SOP yang sudah berkuatkuasa, Ismail Sabri berkata, pengembara yang baru tiba di Malaysia hendaklah diteruskan seperti berikut:

1. Memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahteradalam telefon bimbit sebelum tiba di Malaysia;
2. Menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar kod QR semasa ketibaan pengembara di pintu masuk antarabangsa (PMA);
3. Melalui saringan demam dan gejala;
4. Memantau status kesihatan kendiri selama 14 hari dari tarikh ketibaan ke Malaysia. Sekiranya bergejala, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan untuk penilaian selanjutnya;
5. Kekal tinggal dalam stesen kuarantin dan tidak keluar bilik;
6. Mematuhi SOP, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia pada setiap masa; dan
7. Menjalani swab sampel kedua bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 pada hari ke 10 semasa dalam tempoh kuarantin. – MalaysiaGazette