Seorang pesakit Covid-19 diberi bantuan pernafasan di dalam ambulans. foto Agensi

NEW DELHI – Hospital-hospital di India berkata, ramai pesakitnya meninggal dunia kerana kekurangan bekalan oksigen menyebabkan jumlah kes jangkitan Covid-19 dan kematian terus meningkat dalam tempoh tiga hari ini.

India merekodkan hampir sejuta kes jangkitan dalam tempoh tersebut dengan 346,786 kes dalam tempoh semalaman.

Di Jaipur Golden Hospital dekat sini, 20 orang pesakit dilaporkan maut kerana kekurangan bekalan oksigen.

Kerajaan pula telah menggunakan keretapi dan tentera udara untuk membawa bekalan oksigen di kawasan yang terjejas teruk.

Jumlah kes kematian di seluruh India naik sebanyak 2,624 dalam tempoh 24 jam pada hari Sabtu, daripada 2,263 kes pada hari Jumaat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, keadaan di India adalah “peringatan buruk” tentang penularan Covid-19.

Awal tahun ini, kerajaan India percaya telah berjaya mengekang virus tersebut.

Ketika itu kes baharu turun menjadi 11,000 pada pertengahan Februari, vaksin dieksport dan pada bulan Mac, menteri kesihatan mengatakan India “berada pada akhir” wabak itu.

Namun, sejak itu, lonjakan meletus, didorong oleh kemunculan varian baharu serta pertemuan massa seperti festival Kumbh Mela, yang mana jutaan jemaah berkumpul awal bulan ini.

Dalam keadaan terkini, hospital-hospital di Delhi memberi amaran bahawa mereka berada di hujung tanduk.

Di Holy Family Hospital, unit rawatan rapi sudah penuh dan tidak ada ruang untuk katil lagi.

“Hampir setiap hospital berada sudah semakin terdesak. Jika oksigen habis, tidak ada apa yang boleh dilakukan kepada kebanyakan pesakit.

“Mereka akan mati. Dalam beberapa minit, mereka akan mati. Anda dapat melihat pesakit-pesakit ini memerlukan ventilator, mereka memerlukan oksigen aliran tinggi.

”Sekiranya oksigen berhenti, kebanyakan mereka akan mati,” kata Dr Sumit Ray kepada BBC. – MalaysiaGazette