Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki yang memperdayakan seorang jurujual sebuah syarikat jual beli emas dengan menawarkan jongkong emas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada 14 April lalu, mendakwa telah dihubungi oleh suspek yang menawarkan jongkong emas 999 seberat 683 gram dan emas 916 seberat enam kilogram pada harga RM 1.4 juta.

Suspek memaklumkan kepada mangsa kononnya jongkong emas berkenaan adalah barang rampasan polis yang mahu dilupuskan.

Menurut Eng Lai, mangsa yang terpedaya dengan tawaran palsu suspek itu telah mengadakan pertemuan dan berurusan dengan suspek di kawasan parkir di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

”Dalam pertemuan itu, suspek berjaya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai secara berperingkat yang keseluruhannya berjumlah RM608,000 sebagai bayaran pendahuluan tanpa melihat barang emas rampasan berkenaan.

“Namun, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu sindiket berkenaan selepas gagal menghubungi suspek sebaik bayaran pendahuluan bernilai lebih setengah juta itu dibuat kepada suspek tersebut,” katanya ketika ditemui di Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat IPD Sentul di sebuah pusat beli belah di Metro Perdana Kepong, di sini hari ini.

Bertindak atas laporan mangsa, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 44 hingga 59 tahun di tiga lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang pada 19 April lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk berurusan dengan mangsa.

Ketiga-tiga suspek itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, ujarnya. – MalaysiaGazette