foto: Maritim Malaysia

JOHOR BAHRU – Seramai 10 kru kapal warga Indonesia nyaris maut selepas dua bot barter trade yang dinaiki mereka karam dalam dua kejadian di perairan Pulau Pisang, Pontian pada awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua bot terbabit yang membawa muatan kelapa bulat, dalam pelayaran dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke Batu Pahat.

Kejadian berlaku kira-kira 4 pagi, yang mana bot pertama membawa enam kru karam di kedudukan 5.6 batu nautika, manakala bot kedua dengan empat kru karam di 15.3 batu nautika barat daya perairan itu, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Difahamkan, kedua-dua bot karam kerana berdepan cuaca buruk dan hujan lebat,” katanya.

Menurut Nurul Hizam, dalam kejadian pertama enam anak kapal berjaya menyelamatkan diri dengan berdiri di atas serpihan bahagian bumbung kapal kira-kira empat jam sebelum diselamatkan nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti Pontian Kecil.

“Empat lagi kru diselamatkan oleh bot barter trade lain yang berada di kawasan berhampiran sewaktu kejadian,” katanya.

Menurutnya kesemua mangsa yang berusia 27 hingga 53 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast