Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kementeran Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan segera ke atas seorang guru lelaki yang membuat jenaka mengenai rogol dalam kelas hingga mencetuskan kemarahan di media sosial.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, adalah tidak wajar guru lelaki terbabit menunjukkan akhlak yang seolah-olah “mengajar” pelajar-pelajar lelakinya dengan bahasa-bahasa lucah, menunjukkan sikap tidak hormat kepada wanita apatah lagi “membolehkan” jenayah rogol walaupun dalam bentuk gurauan.

“Kita dikejutkan dengan satu isu serius yang didedahkan oleh seorang pelajar perempuan melalui aplikasi Tik Tok.

“Video tular daripada pelajar itu yang merasa kesal akan kelakuan guru lelaki tersebut mempersendakan atau membuat lawak ke atas jenayah rogol itu adalah tindakan berani yang perlu diberi perhatian agar perkara seperti ini tidak berulang terutama di sekolah di mana seorang pelajar harus berasa selesa dan selamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Azizah yang juga bekas timbalan Perdana Menteri turut berkongsi kisah di zaman Rasullulah S.A.W yang mana seorang pemuda meminta izin kepadanya untuk berzina.

Baginda kata beliau, telah memberikan jawapan dengan penuh hikmah iaitu pendekatan supaya timbul rasa hormat pemuda itu kepada mana-mana wanita yang ada keinginan padanya untuk berzina supaya menghormati mereka seperti mana dia menghormati seorang ibu, seorang anak perempuan, seorang saudara perempuan dan ibu saudara perempuannya.

Perkara tersebut, kata beliau, boleh mencegah pemuda terbabit daripada melakukan perbuatan yang keji dan tidak bermoral itu. – MalaysiaGazette