TOKYO – Honda Motor Co. akan menghentikan penjualan kenderaan yang menggunakan petrol, termasuk hibrid, di seluruh dunia pada 2040, menjadikannya pembuat kenderaan Jepun pertama meletakkan sasaran itu sebagai tindakan untuk mengurangan pengeluaran karbon global.

Honda merancang meningkatkan jualan kenderaan elektrik dan sel bahan bakar secara berperingkat di pasaran utama seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) Eropah dan China dengan sasaran 40 peratus pada 2030 dan 80 peratus pada 2035.

Di Jepun, nisbahnya akan dinaikkan kepada 20 peratus pada 2030 apabila ia turut menyasarkan kereta baharu yang dikuasakan daripada elektrik sepenuhnya, termasuk petrol-hibrid elektrik.

Honda yang kini menjual hanya satu model kenderaan elektrik (EV) berkata, ia akan melancarkan sebuah kenderaan mini elektrik pada 2024.

Pada tahun yang sama di Amerika Utara, syarikat itu merancang melancarkan dua model EV yang dibangunkan secara bersama dengan General Motors Co.

Di China, ia menyasar untuk melancarkan 10 model EV dalam tempoh lima tahun akan datang.

Honda juga akan mempromosikan pembangunan bateri yang lebih canggih untuk EV bagi membolehkan jalan perjalanan yang lebih jauh dengan sekali caj.

Bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan ciri-ciri elektrifikasi automatik dan keselamatan, syarikat akan melabur sebanyak 5 trilion yen (AS$46 bilion) dalam jangka masa enam tahun.

“Kami akan berdepan cabaran untuk mencapai sasaran yang tinggi ini,” kata Presiden Honda, Toshihiro Mibe pada sidang media.

Langkah tersebut diambil ketika kerajaan Jepun menyasar untuk mengharamkan penjualan kereta baharu yang menggunakan petrol pada 2035 dalam usaha mencapai sasaran mengurangkan pengeluaran karbon kepada sifar pada 2050.

Pembuat kenderaan sedang meningkatkan fokus kepada kenderaan mesra alam, dengan firma-firma teknologi maklumat turut menyertainya. – MalaysiaGazette