Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.

MKT desak tubuh RCI siasat buku Tommy Thomas

UMNO akan hantar surat kepada RoS, MKN minta nasihat laksana pemilihan parti

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini memutuskan untuk menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (RoS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi meminta nasihat dan garis panduan bagi membolehkan UMNO melaksanakan pemilihan parti.

“Mesyuarat hari ini memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah RoS dan MKN meminta nasihat bagaimana UMNO menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.

“Ia selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ahmad berkata, garis panduan itu penting bagi memastikan pemilihan parti yang melibatkan 3.3 juta anggota berjalan lancar.

“Pemilihan ini melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO Cawangan termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 bahagian seluruh negara.

“Pemilihan UMNO kali ini juga perlu mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang kian meningkat ketika ini,” katanya.

Sementara itu, UMNO turut mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini.

“Setelah begitu banyak laporan polis dilakukan, mesyuarat juga mendesak melalui Menteri-Menteri Kabinet UMNO untuk kerajaan segera tubuhkan RCI.

“Ia bagi menyiasat segala pendedahan kandungan buku karangan bekas Peguam Negara itu bertajuk My Story: Justice In The Wildness,” katanya lagi. – MalaysiaGazette