Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di unit rawatan rapi Hospital Ibn al-Khatib. foto Agensi

BAGHDAD – Angka kematian pesakit Covid-19 akibat kebakaran besar di hospital Baghdad terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 82 orang pada hari Ahad.

Kejadian yang berlaku akibat silider oksigen meletup turut menyebabkan 110 orang pesakit cedera.

Ketika ini ada individu sedang mengesan ahli keluarga yang masih hilang.

Kerajaan pula telah menggantung pegawai-pegawai utama hospital kerana didakwa lalai hingga menyebabkan kebakaran berlaku di unit rawatan rapi Hospital Ibn al-Khatib.

Seorang jururawat, Maher Ahmed menggambarkan kebakaran itu umpama ‘kebakaran gunung berapi’ menyebabkan tingkat dua dewan pengasingan hospital itu terbakar dalam tiga, empat minit sejurus selepas letupan berlaku.

Kebanyakan yang maut itu mengalami kebakaran teruk, katanya.

Ada pesakit yang tidak dapat dipindahkan kerana boleh mendatangkan maut tanpa bekalan oksigen.

Perdana Menteri Iraq. Mustafa al-Kadhimi telah mengarahkan siasatan dilakukan dan laporan perlu diserahkan kepada Majlis Menteri-Menteri dalam tempoh lima hari. – MalaysiaGazette