Koperal Udara (W), Norshuhada Mohamad menunjukkan Aplikasi MyWIRA yang baru dilancarkan di Kementerian Pertahan (MinDef), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Langkah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membangunkan aplikasi MyWIRA khusus untuk pencarumnya disambut baik Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan langkah yang baik untuk kita mendekati kumpulan sasar iaitu para pencarum LTAT walau di mana sahaja mereka berada.

“Pada era kini, orang ramai lebih cenderung menggunakan aplikasi atas talian untuk melaksanakan transaksi. Contohnya seperti i-Akaun yang dibangunkan oleh KWSP atau THiJARI yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji dan sebagainya yang memfokuskan kepada urusniaga dalam talian.

“Saya percaya dengan kemudahan yang ditawarkan melalui aplikasi MyWIRA ini, pencarum LTAT tidak perlu hadir ke kaunter pejabat LTAT, menggunakan kemudahan e-Kiosk atau pun melalui laman sesawang LTAT,” katanya ketika melancarkan aplikasi MyWIRA (MyWIRA App) sebagai inisiatif terbaru LTAT kepada para pencarumnya di Auditorium Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan) serta Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin (kiri) ketika menghadiri Majlis Pelancaran Aplikasi MyWIRA di Kementerian Pertahan (MinDef), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2021.

Hadir sama Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Reza Mohd Sany.

Justeru itu, Ismail Sabri menyeru semua pencarum LTAT sama ada pencarum wajib atau pun pencarum sukarela untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan oleh LTAT.

“Saya juga difahamkan melalui aplikasi ini, para pencarum LTAT boleh melakukan semakan kadar dividen yang mereka perolehi serta jumlah dividen yang diagihkan kepada pencarum pada tahun sebelum,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zahidi berkata, LTAT menyasarkan pendaftaran sebanyak 80 peratus pencarum LTAT kepada aplikasi MyWIRA menjelang April tahun depan.

Katanya, aplikasi dalaman bagi LTAT itu boleh memberikan maklumat secara digital kepada pencarumnya bagi mengetahui jumlah caruman dan dividen masing-masing.

“Sasaran kami sekurang-kurangnya 80 peratus pencarum LTAT dapat mendaftar diri dalam aplikasi ini. Saya mohon kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Pertahanan dapat memberikan sokongan kepada kami,” katanya lagi.

Untuk rekod, aplikasi itu direka khas untuk kemudahan dan keselesaan pencarum bagi mengakses penyata caruman mereka, memeriksa status permohonan pengeluaran caruman, mengakses maklumat mengenai akaun unit amanah serta akses kepada maklumat lain.

Aplikasi MyWIRA boleh dimuat turun secara percuma daripada App Store dan Play Store. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast