Ministry of Education MOE Datuk Dr Radzi Jidin Minister of Education Schools closure Covid-19 PdPR home-based teaching and learning Aidilfitri holidays
Dr Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menghukum murid atau pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana kekhuatiran ibu bapa akan situasi COVID-19, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, bagaimanapun ibu bapa perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah lebih awal.

“Kita tak pernah denda murid-murid yang tak nak sekolah kerana merasakan tak selamat (untuk) ke sekolah. Tapi ibu bapa kena tulis surat maklumkan dan alasan kena ada asas, kita (sekolah) kena ada rekod yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Radzi menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak-anak yang bergejala ke sekolah, begitu juga ibu bapa yang sedang dikuarantin agar tidak menghantar anak-anak dalam jagaan ke sekolah.

Katanya ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak yang bersekolah supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak jangkitan COVID-19 di sekolah.

Mengulas mengenai proses penyuraian murid dan pelajar ketika pulang dari sekolah, Radzi berkata rata-rata SOP penyuraian murid sekolah rendah mudah dipatuhi, namun KPM berdepan cabaran dengan proses penyuraian di sekolah menengah.

“Cabaran kita ialah apabila pelajar berkumpul di tempat mengambil kenderaan, motosikal dan basikal juga apabila mereka keluar dari sekolah secara berkumpulan.

“KPM sentiasa akan memantau sebarang laporan akan ketidakpatuhan SOP ini dari semasa ke semasa dengan turun ke sekolah terlibat,” katanya.

Setakat ini terdapat 90 sekolah mengamalkan sistem penggiliran sesi persekolahan bagi memastikan SOP penyuraian dapat dipatuhi dan memastikan penjarakan fizikal antara pelajar, kata beliau. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast