Anaz Ab. Moris

KUANTAN – Aktivis dan kartunis yang mempunyai ratusan ribu pengikut di Facebook yang dikenali sebagai Fahmi Reza didakwa bertindak mencemarkan nama baik Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui entrinya.

Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Teruntum (Permat), Anaz Ab. Moris berkata, perbuatan membuat entri tersebut dianggap biadap terhadap Raja Permaisuri Agong dan memberi kesan buruk terhadap institusi diraja.

Ujarnya Permat memandang serius tindakan biadap Fahmi Reza melalui hantaran di Facebook membuat hantaran perkataan ‘This is dengki ke?’ yang dilihat bertujuan untuk memburuk-burukkan dan mencemar nama baik Raja Permaisuri Agong.

Tambahnya meskipun si pelaku sudahpun dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan dan memberi keterangan, namun tindakan tersebut tidak wajar sekali gus menjurus kearah menghasut masyarakat bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.

Sebaliknya sebagai anak muda pewaris bangsa, dan rakyat Malaysia perlu lebih menghayati prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara

“Tindakan ini jelas tidak beretika dan bertujuan untuk memburukan nama baik institusi diraja biarpun bukan secara langsung tetapi dilihat lebih kepada memperlekeh dan membina persepsi buruk terhadap kerabat diraja.

“Seharusnya anak muda dididik untuk menghormati institusi diraja selain dipupuk rasa hormat terhadap orang lain dan bukannya dengan membenci.

“Sebagai pertubuhan anak muda yang bertapak di Negeri Pahang khususnya di bandaraya Kuantan, kami mengecam keras selain mengutuk tindakan yang dilakukan terhadap Raja Permaisuri Agong,” ujar Anaz ketika dihubungi Malaysiagazette.

ARTIKEL BERKAITAN :

Fahmi Reza Dibebaskan

Himpunan Solidariti Fahmi Reza

Hina Permaisuri Agong: Fahmi Reza akan direman, disiasat menghasut

Jelasnya Permat merasakan di sebalik rekaan grafik yang tular di media sosial tersirat agenda lain yang cuba diserap untuk mempengaruhi sekali gus memanupulasi pemikiran orang muda.

Justeru beliau berharap pihak berwajib terutama pihak berkuasa untuk terus lebih tegas dan memantau perkara ini agar tidak menjadi lebih parah ibarat barah dalam daging.

Kartunis dan Aktivis, Fahmi Reza keluar dari IPD Dang Wangi selepas ditahan untuk memberi keterangan berhubung menghina Raja Permaisuri Agong di Kuala Lumpur pada 24 April lalu

Terdahulu siasatan dijalankan ke atas Fahmi Reza oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walaupun telah dibebaskan, itu tidak bermakna setiap tindak tanduk beliau adalah benar dan boleh dilakukan dengan sesuka hati tanpa mengira sensitiviti orang lain.

“Kita boleh menzahirkan pendapat serta pandangan namun ada batasnya. Akan tetapi tidak perlu dengan merendah-rendahkan martabat orang lain sehingga menghina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast