Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Pelajar sekolah rendah dan menengah akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dua minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Sesi PdPR akan bermula 16 Mei bagi sekolah dalam kumpulan A (Kelantan Johor Kedah dan Terengganu) manakala sekolah dalam kumpulan B (Perlis, Perak, Pahang, Sabah, Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Putrajaya) akan bermula sehari selepas itu, pada 17 Mei.

Bagi sekolah dalam kumpulan A sesi tersebut akan akan berakhir pada 27 Mei manakala sekolah dalam kumpulan B pula berakhir sehari kemudian.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelaksanaan sesi PdPR itu adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Dalam konteks pelaksanaan PdP, KPM mengambil pendekatan untuk melaksanakan PdPR selama dua minggu selepas cuti perayaan,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

Sementara itu, Radzi berkata, cuti Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada 11 Mei bagi sekolah dalam kumpulan A dan B dengan sekolah dalam kumpulan A akan mengambil cuti peristiwa atau cuti ganti pada 9 dan 10 Mei 2021 manakala sekolah dalam kumpulan B akan mengambil cuti tersebut pada 10 Mei.

Berikutan itu, sekolah dalam kumpulan A akan bercuti mulai 7 Mei hingga 15 Mei  manakala sekolah dalam kumpulan B pada 8 Mei hingga 16 Mei. – MalaysiaGazette