Takiyuddin Hassan emergency Covid-19 parliament sitting
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti.

Namun ia bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperoleh oleh kerajaan daripada semua pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meskipun semasa darurat berkuatkuasa, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati
Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa darurat.

”Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen, namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti-parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 yang belum reda
sepenuhnya.

Menurutnya, langkah pengawalan dan pencegahan wabak berbahaya ini masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan.

Di samping itu pihak penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain masih bertungkus lumus menjaga perbatasan negara dari dibolosi pendatang asing yang turut membawa risiko penularan Covid-19 dari negara luar.

Takiyuddin berkata, adalah tidak wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kirakira Wang Awam.

Justeru semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dahlah Taki oooiii, ngko nampak lebih berkuasa dari kuasa tampok prmerintahan negara. Dasar pengecut, takut krna terajang fengan Ahli-ahli Parlimen kerr…

Comments are closed.