KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tersenarai pada kedudukan 801-1000 daripada 1115 institusi pengajian tinggi di dunia untuk 2021 dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Ranking, yang diumumkan pada 21 April 2021.

THE Impact Ranking yang diperkenalkan oleh THE mengambil kira petunjuk yang menilai pencapaian universiti berdasarkan 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali sebagai 17 United Nations Sustainable Development Goals (SDGs).

Dalam kenyataan di sini, UMK berkata, prestasi universiti itu dinilai berdasarkan pencapaian terbaik di dalam empat SDG yang mana UMK menunjukkan prestasi memberangsangkan pada SDG 2 (Zero Hunger) dan SDG 15 (Life of Land) yang berada di kedudukan ke 201–300 manakala untuk SDG 1 (No Poverty) UMK di kedudukan ke 301–400.

Sementara itu, UMK dinilai pada kedudukan 401+ untuk SDG 7 (Affordable And Clean Energy) dan SDG 12 (Responsible Consumption And Production). Manakala SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) di kedudukan 601+ dan untuk SDG 4 (Quality Education) di kedudukan 801+.

Pencapaian terbaik itu merupakan pengiktirafan global dan petanda positif kepada keberkesanan pelbagai inisiatif UMK ke arah menjadi Universiti Keusahawanan terkemuka dunia menjelang 2030, kata UMK.

Inisiatif ini juga adalah selari dengan dasar Kementerian Pengajian Tinggi iaitu University for Society (U4S) yang menekankan bahawa fokus utama universiti juga adalah untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast