Rampasan daun ketum lebih 500 kilogram (kg) oleh APMM di muara Kuala Kedah, semalam.

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup lebih 500 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan muara Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Noor Azreyanti Ishak, berkata, kejadian itu berlaku pada 2.55 pagi ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang membuat rondaan Op Aman.

Ujarnya, hasil maklumat dan risikan, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran  dikesan bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan.

Nor Azreyanti berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak nekad terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dan satu ruang simpanan ikan yang berisi bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan berat lebih kurang 500 kg dan anggaran nilai keseluruhan adalah RM90,000.

“Kesemua daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran mengikuti jalan laut,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Hasil pemeriksaan ke atas bot terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dan satu ruang simpanan ikan yang berisi bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran nilai keseluruhan RM90,000.

Berdasarkan risikan dan laporan diterima mendapati harga pasaran semasa daun ketum di Thailand boleh mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja.

Kesemua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM140,000 telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.”

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambah Noor Azreyanti, sepanjang April, sebanyak tiga kes rampasan daun ketum di   berjaya ditumpaskan APMM Kedah dengan nilai anggaran RM380,000. – MalaysiaGazette