Pengunjung kedai makan disaman RM1,500 oleh pihak berkuasa, di Kuantan, Pahang

KUALA LUMPUR – Belum habis kontroversi seorang peniaga burger dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana berniaga lebih masa di hadapan rumah sendiri semalam.

Kali ini di Kuantan, Pahang, pengunjung kedai makan disaman RM1,500 oleh pihak berkuasa kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Perkara itu dikongsikan menerusi satu ciapan di Twitter menggunakan @adiq_rauf dan mula tular sejak semalam selepas mendapat perhatian dari warganet kerana dilihat tidak mempunyai timbang rasa.

“Takde amaran terus kena saman. Kalau artis kena buka kertas siasatan dulu. Tu lahh, sape suruh jadi miskin,” kataya menerusi perkongsian di Twitter.

Tindakan itu sekali gus membuatkan mereka bingung kerana sebelum ini SOP membabitkan kedai makan telah membenarkan pengunjung memenuhi ruang makan mengikut kapasiti meja.

Pengguna akaun Twitter berkongsi status dikompaun

Sejak semalam, perkongsian itu telah mendapat lebih 8,000 komen dan 1,700 perkongsian daripada warganet.

Menerusi ruangan komen itu, mereka yang prihatin telah memuat naik SOP terkini bagi kedai makan yang baru dikuatkuasakan pada 20 April 2021.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang masih terlepas pandang sehingga disaman oleh pihak berkuasa.

Selain itu, potongan video Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut dikongsikan berhubung pihak berkuasa tidak boleh terus mengenakan saman tanpa memberi amaran terlebih dahulu kepada rakyat.

Sehubungan dengan perkongsian tersebut, terdapat beberapa komen oleh warganet menzahirkan rasa kurang senang dengan tindakan seperti itu.

Ini kerana tidak semua rakyat mengetahui SOP terbaru di semua tempat dengan jelas memandangkan perubahan kerap dibuat oleh Majlis Keselamatan negara (MKN). -MalaysiaGazette