Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Percubaan dua lelaki warga asing untuk mengelak pemeriksaan kerana tidak mempunyai pasport dan lesen memandu gagal apabila mereka ditahan polis tengahari semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah (RCJ) di kawasan Damansara ternampak sebuah kereta jenis Honda dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Tropicana di hadapan kondominium Riana Green Tropicana.

“Apabila pihak polis menghampiri kedua-dua suspek dalam kenderaan itu, secara tiba-tiba kereta yang dipandu suspek tersebut terus memecut laju hingga bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira di lampu isyarat.

“Kereta yang dinaiki kedua-dua suspek itu enggan memberi kerjasama untuk berhenti dan diperiksa oleh pihak polis.

“Akhirnya, pemandu dan penumpang kereta Honda tersebut berjaya ditahan di Jalan PJU 1A/42B berhadapan kawasan Cantara Residence, Damansara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku melarikan diri daripada pemeriksaan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu dan passport.

Katanya, kereta Honda yang dinaiki kedua-dua suspek adalah kereta yang disewa dari seorang lelaki warga tempatan.

“Kedua-dua suspek warga asing berusia 35 dan 39 tahun telah ditahan reman selama empat empat hari.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua dua tahun atau denda RM 10,000.00 atau kedua-duanya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette