Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang guru lelaki di Selangor yang didakwa membuat lawak rogol ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, disifatkan sebagai tidak profesional dan memalukan institusi keguruan di negara ini.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejadian itu tidak boleh dianggap terpencil dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas ke atas guru terbabit jika terbukti perkara itu berlaku.

”Sebagai bekas pengetua sekolah dan juga bekas menteri pendidikan, saya merasakan perkara itu memalukan institusi keguruan di negara ini.

”Dalam apa jua situasi sekalipun, perkara itu tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan untuk berlawak kerana rogol itu sendiri adalah perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar dipromosikan lebih-lebih lagi oleh seorang bernama guru,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menegaskan, jenayah rogol sepatutnya digunakan oleh seorang guru untuk mendidik anak muridnya menjauhi perbuatan itu dan bukannya dijadikan sebagai bahan satira atau jenaka.

“Bagi saya, ini juga berkaitan dengan akhlak seorang guru. Kita bukan nak mengambil pendekatan menghukum akhlak keseluruhan guru-guru di Malaysia tetapi kesedaran mengenai batasan percakapan itu perlu ada dalam diri setiap guru agar semua anak murid di dalam kelas tidak merasa terganggu emosi mereka dengan akhlak dan perlakuan guru mereka.

”Ini bagi saya amat penting untuk kita faham,” katanya sambil menggesa KPM segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan peraturan dan sebagainya.

Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Selangor mendakwa, seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.

Menurut pelajar berkenaan, guru terbabit bercakap mengenai jenayah rogol itu ketika membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya.

Pelajar berkenaan mendedahkan perkara itu menerusi satu klip video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast