Majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Neelofa serta kesemua ahli keluarganya didenda RM60,000 oleh polis selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) melibatkan majlis perkahwinan di sini baru-baru ini.

Tiada sebarang diskaun dibenarkan untuk Neelofa dan ahli keluarganyayang terlibat kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Menurutnya, semalam, kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB majlis perkahwinan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor telah diterima dari pejabat Peguam Negara.

“Dalam keputusan kertas siasatan itu, Peguam Negara mengarahkan supaya Neelofa dan ahli keluarganya dikenakan kompaun di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

“Noor Neelofa Mohd Noor dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 (tiada diskaun dibenarkan) bagi dua kesalahan iaitu selaku penganjur telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP Penganjuran Majlis Sosial PKPB apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Kesalahan kedua adalah melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, suami Neelofa, Muhammad Haris Mohd Ismail dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 (tiada diskaun dibenarkan) kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Dalam pada itu, kesemua ahli keluarga Neelofa juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

“Seramai 20 orang ahli keluarga Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM1,500, seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun hari ini dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikenakan ke atas Neelofa dan kesemua ahli keluarganya dalam kes ini adalah sebanyak RM60,000.

“Justeru, pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Neelofa kaya raya ko denda 10 ribu jaaa…peniaga colek dan peniaga burger depan rumah yg kais pagi makan pagi ko denda sampai 50 ribu??? Tu jual burger tu Syarikat Ramly Burger atau McD kaaa???

Comments are closed.