RAMAI rakyat kita kurang sedar mengenai bahaya Malaria dalam kalangan komuniti sekeliling. Walhal wabak ini turut sama bahaya dengan wabak pandemik yang sedang kita alami sekarang iaitu Covid-19.
Malaria juga merupakan wabak pembawa maut yang telah lama berada di negara kita.
Namun pujian harus diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tak pernah jemu berusaha untuk mengurangkan kes malaria dalam masyarakat.
Sehinggakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan bahawa negara kita telah berjaya mencapai sasaran sifar kes jangkitan human malaria indigenous untuk tiga tahun berturut-turut bermula tahun 2018 hingga 2020 di seluruh Malaysia.
Antara formula yang Malaysia guna untuk turunkan jangkitan wabak ini adalah seperti melaksanakan Program Eradikasi Malaria dan Program Kawalan Malaria yang bermula sejak tahun 1961 lagi.
Yang terbaru, KKM melakukan Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan (PSEMK).
Sebagai seorang ahli keluarga yang pernah menghidap wabak ini, saya cukup berbangga dan berterima kasih kepada KKM dan Dr Adham Baba kerana masih terus fokus berusaha memberi kesedaran dan menghalang jangkitan Malaria, walaupun dunia dan kita sedang diuji Covid-19.
Sempena sambutan Hari Kesedaran Malaria Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan Dr Adham Baba pada 26 April, saya mengikuti setiap pesanan beliau dan KKM.
Tujuan saya adalah untuk melihat sendiri sejauh mana kerajaan serius dan tak pandang ringan terhadap wabak-wabak yang telah lama kita alami sebelum kedatangan i Covid-19.
Ternyata Dr Adham dan KKM melakukan kerja dengan sehabis baik dan konsisten demi menjaga tahap kesihatan masyarakat. Oleh sebab itu tiga peranan yang disebut semasa ucapannya itu amat saya teliti satu per satu selaku bekas pesakit.
Pertamanya anggota kesihatan perlu sentiasa peka dengan kumpulan berisiko jangkitan malaria di kawasan operasi fasiliti kesihatan masing-masing.
Keduanya agensi kerajaan atau swasta dalam sektor komersil seperti perladangan, perlombongan, pembinaan dan sebagainya perlu memastikan semua pekerja asing melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut polisi yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pekerja asing yang bekerja di Malaysia.
Dan ketiga penduduk yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti berisiko di hutan seperti memburu dan pembukaan tanah baru untuk pertanian perlu mengambil langkah-langkah pencegahan, seperti memakai pakaian yang dapat melindungi keseluruhan badan dari gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk (repellent).
Kesedaran dan minat saya untuk isu Malaria ini mungkin dirasakan kecil dan tak penting bagi mereka yang lain. Tetapi bagi mangsa yang selamat dari wabak ini, ia suatu perkara
yang perlu mendapat perhatian serius dari ramai pihak.
Pesan saya, jangan kita hanya anggap Covid-19 sahaja mampu menjadi wabak pembunuh. Ada beberapa lagi wabak yang boleh membuatkan nyawa kita terkorban jika kita tidak jaga kualiti kebersihan hidup kita.
Terima kasih KKM kerana terus peka dengan isu-isu kesihatan masyarakat.
Azmir Abu Hanifah
Paroi, Negeri Sembilan