Gambar hiasan

SEMOGA kita tergolong dalam golongan hamba-hamba yang akan ditemukan dengan bulan Ramadan yang mulia. Bulan Ramadan adalah waktu yang ditunggu-tunggu terutama oleh masyarakat Muslim seluruh dunia untuk diimarahkan bagi mengumpul pahala sebagai persiapan akhirat nanti.

Tetapi adakah ini bermakna bahawa kita tidak dapat menjalankan rutin harian kita seperti biasa? Adakah ia menjadi penghalang untuk kita melakukan rawatan kesihatan yang rutin contoh rawatan pergigian? Pendakap gigi atau lebih dikenali dengan istilah “braces” di kalangan umum, merupakan salah satu jenis rawatan pergigian yang dibuat bertujuan untuk membetulkan susunan gigi di dalam mulut.

Rawatan pendakap gigi ini boleh dibuat ke atas semua golongan termasuk remaja dan
dewasa jika bersesuaian. Rawatan ini selalunya memakan masa 2 tahun dan memerlukan
komitmen pesakit untuk berjumpa dengan pakar pergigian ortodontik setiap bulan untuk
temujanji susulan yang mana pesakit akan diperiksa untuk sebarang masalah jika ada sebelum doktor pakar meneruskan rawatan. ‘

Rawatan pendakap gigi adalah bersifat progresif dari satu tahap ke tahap seterusnya di mana bermula dengan pergerakan gigi yang ringkas dahulu sehinggalah kepada peringkat yang lebih kompleks rawatan selesai dan mendapat hasil yang memuaskan bagi kedua-dua, pesakit dan pakar pergigian.

Kebiasaannya sewaktu temujanji susulan rawatan pendakap gigi, pakar pergigian ortodontik akan menukar besi dan getah yang digunakan. Proses ini sangat singkat dan tidak melibatkan sebarang penggunaan cecair atau peralatan lain.

Maka, prosedur ringkas seperti ini sudah tentu tidak membatalkan puasa dan boleh dilakukan seperti di bulan-bulan biasa. Tetapi sekiranya terdapat bahagian dari pendakap gigi yang tertanggal dan memerlukan penggantian, maka pakar pergigian perlu untuk membersihkan permukaan gigi sebelum melekatkan semula bahagian pendakap gigi tersebut.

Prosedur ini melibatkan penggunaan peralatan pergigian dan air. Tetapi sekiranya pesakit tidak menelan air di dalam mulut dan bertenang sewaktu prosedur dibuat, prosedur ini tidak membatalkan puasa dan boleh dijalankan kerana air yang digunakan adalah sedikit sahaja. Prosedur seperti pembukaan pendakap gigi setelah tamat rawatan ataupun pemasangan pendakap gigi sewaktu permulaan rawatan melibatkan prosedur menggunakan peralatan pergigian dan air yang banyak.

Maka prosedur ini adalah dinasihatkan untuk tidak dibuat ke atas pesakit yang berpuasa kerana berkemungkinan besar boleh membatalkan puasa pesakit. Maka, kesimpulannya sepanjang Ramadan ini janganlah anda memberi alasan untuk tidak hadir ke temujanji susulan rawatan pergigian, khususnya rawatan pendakap gigi kerana sekiranya anda gagal, ianya akan memanjangkan lagi tempoh rawatan pergigian anda.

Sekiranya terdapat sebarang masalah atau anda merasa sakit atau kurang selesa
disebabkan ada bahagian daripada pendakap gigi anda yang patah, tertanggal atau
tercabut, bolehlah membuat temujanji segera dengan pakar pergigian anda supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dan anda dapat meneruskan ibadah puasa anda dengan selesa

insyaallah. Wallahua’alam.

Dr. Zurairah Ibrahim
Pakar Pergigian Ortodontik
Universiti Sains Islam Malaysia

Dr. Wan Nur Alwani bt Wan Abdul Aziz
Pakar Pergigan Periodontik
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast