Pengurus Pasukan KL City, Bojan Hodak

KUALA LUMPUR – Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak mahu lagi pasukannya sering kali ‘bocor’ menjelang detik-detik akhir perlawanan yang menyaksikan mereka telah terlepas beberapa mata berharga pada saingan Liga Super musim ini.

Situasi ini telah terjadi dalam empat perlawanan terakhir berturut-turut bermula semasa bertemu PJ City FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC dan yang terakhir, semasa tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC selain perlawanan ketiga dengan Selangor FC.

Dua punca utama yang telah dikenal pasti oleh Bojan adalah kurangnya fokus dalam kalangan pemain selain pemain gantian yang dibawa masuk gagal mainkan peranan dalam mengekang pihak lawan.

“Daripada semua perlawanan ini, mungkin berdepan Terengganu FC antara situasi yang berada di luar kawalan kita kerana jaringan yang dilakukan oleh Makan Konate cukup cantik.

“Namun, beberapa perlawanan lain seperti dengan PJ City dan Selangor FC, semuanya ada mengena dengan tahap konsentrasi pemain dan kami sedang cuba perbaiki masalah ini.

“Begitu juga semasa dengan Sri Pahang, walaupun kami menang 2-1 namun gol yang dijaringkan oleh lawan juga pada masa kecederaan, manakala dengan Kedah, saya enggan perkatakan.

“Apa yang saya boleh katakan mengenai perkara ini selain fokus pemain, saya lihat mereka yang dibawa masuk dari bangku simpanan tidak dapat berikan impak sama seperti pemain utama bila dibawa masuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

Skuad warga kota kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas meraih tiga kemenangan daripada sepuluh perlawanan selain tiga keputusan seri.

Kuala Lumpur City FC bakal berdepan cabaran terbesar mereka pada Jumaat ini apabila menerima kunjungan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi melengkapkan cabaran mereka di pusingan pertama Liga Super.

Namun, Bojan terpaksa terus meratapi kehilangan ayam tambatan mereka di bahagian serangan, Dominique Da Slyva yang akan disisihkan bagi tempoh dua minggu ekoran kecederaan di bahagian ligamen kaki.

Situasi itu bermakna Dominique dijangka tidak akan bermain dalam baki tiga perlawanan Liga Super sebelum semua pasukan berehat selama dua bulan bagi memberikan laluan kepada skuad kebangsaan yang akan mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Dominique sememangnya pemain yang cukup penting kepada pasukan, tanpanya kami tidak banyak pilihan selain Romel Morales, namun dia lebih sesuai bertindak selaku pembantu di bahagian serangan.

“Selain itu, saya mungkin menimbangkan Safee Sali dan mana-mana pemain di bahagian tengah yang boleh bertindak selaku penyerang seperti Paulo Josue.

“Berdepan JDT, saya faham mereka pasti datang dengan situasi yang lebih bersemangat selepas kalah tempoh hari tetapi perkara ini amat baik kepada kami.

“Tekanan mungkin akan dirasai oleh mereka dan situasi adalah normal dalam bola sepak, jadi kami cuba yang terbaik berikan saingan kepada JDT, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast