KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu mulai 6 Mei ini.

Beliau akan menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang akanmelepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 5 Mei 2021.

Nik Mohd Hasyudeen menerajui TH sejak 1 September 2019.

Pelantikan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Amrin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan kariernya di instutusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antaranya di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT.

Amrin adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England, juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof berkata, beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Dato’ Sri Amrin akan dapat membawa TH ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan.

TH kini mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dan dana terkumpul hampir RM80 bilion.

Dalam pada itu, Md Nor turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Nik Mohd Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang
baik. – MalaysiaGazette

Amrin ganti Nik Mohd Hasyudeen di Tabung Haji?