Elakkan pembaziran makanan. Gambar hiasan

BERMULA tahun 2017, pada setiap 28 April akan diraikan sebagai Hari henti pembaziran makanan (Stop food waste day) . Usaha murni ini dimulakan di seluruh dunia bagi menghentikan pembaziran makanan, mempromosikan kehidupan sihat, memperjuang isu kemiskinan/kelaparan dan kemampanan pertanian serta hasil laut.

Di negara kita, sebanyak 17,000 metrik tan makanan dibuang setiap hari! Daripada jumlah ini sebanyak 3,000 metrik tan merupakan makanan yang masih elok dan boleh dimakan. Bayangkan lah terdapat suara-suara anak kecil yang menahan lapar sedangkan kita membuang makanan yang elok ke tong sampah tanpa ada perasaan bersalah.

Ingatlah pada surah Al-Isra’ayat 27 yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. Tidak kah kita berasa malu pada Allah SWT takala melakukan pembaziran? Allah SWT menjelaskan bahawa pembaziran adalah amalan dan tabiat syaitan yang bersifat bongkak dan angkuh.

Seorang pemain bola sepak yang terkenal, Mesut Ozil pernah mengambil dan mencium roti yang dilemparkan ke padang bola kerana adap dan menghormati makanan sebagai rezeki daripada Allah SWT. Terdiam hampir seluruh penonton di dalam stadium itu di atas perbuatan beliau. Itulah akhlak seorang muslim yang sebenarnya. Sebanyak mana wang ringgit kita, setiap rezeki yang Allah SWT berikan harus dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Di dalam Surah al-A’raf ayat 3 yang bermaksud "…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan." Ketika kita sedang menyambut bulan Ramadan ini, ambillah iktibar daripada ayat ini. Jangan lah membazir dan berlebihan semasa makan dan minum terutama apabila berbuka puasa. Semasa di pasar ramadan pula, kawallah nafsu mata dan perut. Beli mengikut keperluan sahaja dan usahlah mengikut hawa nafsu.

Apabila masak, masak lah sekadar cukup-cukup untuk hidangan sekeluarga agar boleh dihabiskan. Sekiranya tidak habis, simpan lah untuk bersahur nanti. Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengellakkan pembaziran makan yang kita boleh
amalkan.

Antaranya ialah:

1. Berbelanjalah dengan berhemah. Belilah barangan yang perlu sahaja. Buatlah senarai
barangan yang perlu dibeli sebelum ke kedai. Jangan membeli-belah dalam keadaan lapar
kerana akan membuatkan kita membeli dengan berlebihan.

2. Simpan makanan dengan betul. Sisa makanan yang masih elok perlulah disimpn dengan baik. Makanan mudah rosak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Makanan seperti bijirin dan bebawang perlu disimpan di tempat yang kering agar tahan lama.

3. Jangan jadi terlalu cerewet. Semasa memilh buah-buahan atau sayur-sayuran, usah terlalu memilih bentuk dan rupa yang terlalu sempurna. Kadang-kadang buah dan sayur ada yang rupanya tidak cantik tetapi masih boleh dimakan.

4. Susun atur peti sejuk. Peti sejuk yang mempunyai susunan makanan yang baik boleh
mengelakkan pembaziran. Ini kerana makanan yang disimpan secara sistematik dan tidak
tersorok akan membolehkan kita mengambil makanan tersebut sebelum ianya menjadi
busuk.

5. Simpan baki makanan yang tidak habis. Ada daripada kita yang hanya mahu makan makanan yang panas-panas dan baru dimasak sahaja. Makanan yang berbaki semalam atau pagi tadi tidak mahu disentuh sedangkan ia masih elok lagi. Amalan ini amat merugikan dan membazir.

Secara dasarnya terdapat pelbagai cara untuk mengelakkan pembaziran makanan. Terpulang pada kita untuk mengamalkannya atau terus dengan tabiat lama. Elakkan mengikut perasaan dengan membeli atau memasak makanan sebanyak-banyaknya. Makan secara bersedarhana dan beringat-ingatlah apabila hampir kenyang. Jangan lupa sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi(2380) yang bermaksud “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya. Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk
makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Oleh: Profesor Madya Dr Azrul Hafiz  Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia 

&

Dr Rahimah Mohd Sahudi
Pegawai Perubatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast