Steven Sim (kanan) berbual bersama Anas Hazmi yang menunjukkan geran motosikal yang diberikan kepadanya di Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menafikan dakwaan bantuan motosikal kepada seorang pekerja FoodPanda sebagai gimik politik.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang menegaskan, bantuan yang diberikan itu juga bukan untuk menyebarkan agama tertentu.

Sebaliknya ia bagi menampung perbelanjaan Anas Hazmi Ahmad yang menetap di negeri itu bagi menjalani latihan industri.

Steven Sim.

Jelas beliau, penerima motosikal tersebut yang meminta identitinya dirahsiakan namun isu itu dipolitikkan hingga ada yang mendakwa motosikal tersebut didaftarkan atas nama orang lain.

“Selama ini saya memilih untuk tidak menjawab isu yang dibangkitkan berkaitan pemberian bantuan motosikal kepada seorang pelajar berasal dari Kelantan tetapi tomahan serta fitnah yang dilemparkan kian hari kian melampau.

“Lebih teruk apabila segelintir pihak mendedahkan identiti termasuk alamat asal penerima bantuan itu di media sosial demi kepentingan sendiri tanpa memikirkan risiko.

“Saya boleh terima apa saja kecaman kerana tahu sebagai orang politik pelbagai tomahan dilemparkan tetapi tindakan segelintir pihak meletakkan harga untuk mendapatkan identiti Anas Hazmi merupakan tindakan merosakkan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya hari ini.

Steven Sim (kiri) berbual bersama Anas Hazmi sambil melihat motosikal yang diberikan untuk kegunaan pelajar itu.

Steven Sim kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melemparkan tomahan tidak berasas berhubung pemberian bantuan motosikal itu.

Sementara itu, Anas Hazmi,22, meluahkan rasa kesal dan sedih susulan tindakan setengah pihak yang menjadikan dirinya sebagai bahan politik.

Anas Hazmi.

“Saya nafi tuduhan yang dibuat ke atas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, beliau tidak pernah menyebarkan agama kepada saya malah selepas memberikan bantuan motosikal beliau tidak menghubungi saya bagi tujuan lain.

“Pendaftaran motosikal jenis Honda Dash pada 14 April lalu dibuat atas nama saya sendiri dan saya yang minta beliau rahsiakan identiti penerima,” kata Anas Hazmi.

Anak keempat daripada 10 beradik itu turut meminta orang ramai menghentikan kecaman terhadap dirinya serta keluarga. – MalaysiaGazette