Vaksin AstraZeneca. foto Reuters

MONTREAL – Quebec melaporkan kes kematian pertama membabitkan penerima vaksin AstraZeneca yang mengalami masalah pembekuan darah.

Sebelum ini Kanada memaklumkan sekurang-kurangnya berlaku lima kes pembekuan darah oleh penerima vaksin tersebut.

Pengarah Kesihatan Awam Quebec, Horacio Arruda berkata, meskipun berlaku kematian itu tetapi ia tidak mengubah strategi vaksinasi di wilayah tersebut.

Komplikasi yang jarang berlaku – yang dikenali sebagai Trombositopenia Imun Prothrombotik disebabkan oleh vaksin – melibatkan pembekuan darah yang disertai dengan jumlah platelet yang rendah, sel-sel dalam darah yang membantunya membeku.

Dalam kalangan penerima yang mengalami pembekuan darah selepas menerima vaksin AstraZeneca, 40 peratus dilaporkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, kata Pejabat Kesihatan Kanada memaklumkan risiko yang berkaitan dengan keadaan ini cenderung menurun dengan peningkatan kesedaran dan rawatan awal.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Quebec, Christian Dube berkata, wilayah itu telah melaksanakan vaksinasi ke atas 400,000 orang dengan AstraZeneca. – MalaysiaGazette